Mencari bluetooth dalam laptop
by waidakmy on July 12, 2010
in Asas Komputer
Assalamualaikum dan Apa khabar?
Apa ada dengan gigi biru?
Ya. Blue tooth
Bluetooth adalah salah satu cara komunikasi gaya baru di antara dua alat. Ia termasuk dalam salah satu teknologi komunikasi tanpa wayar (wireless / wayarles).
Jika USB, itu berwayar kerana kita perlu sambungkan kedua-dua alat.
Dengan gigi-biru, kita hanya perlu pastikan kedua-dua alat memiliki teknologi ini. Kemudian, hidupkan sahaja bluetooth pada keduanya dan berkomunikasilah!
Kadangkala, alat kita, contohnya laptop, tiada fungsi bluetooth. Sama juga seperti telefon bimbit. Ia bergantung kepada jenis laptop atau telefon yang dibeli. Seperti Nokia 3310, ia tiada gigi biru, bukan?
Sekiranya alat kita tiada fungsi ini, kita boleh membeli perkakasan tambahan seperti ‘USB bluetooth adapter’.
“Menarik! Saya juga mahu guna fungsi ini! Tetapi…”
“Saya kurang pasti laptop saya ada atau tidak bluetooth.”
“Bagaimana saya boleh tahu laptop saya ada fungsi bluetooth?”
Ada dua cara mengetahuinya,
Satu.
Semasa beli, bertanyalah kepada penjual
Atau, lihat pada spesifikasinya.
Kedua.
Buka ‘Network & Internet’ atau ‘Network Connections’ dari ‘Control Panel’. Sekiranya laptop kita ada, akan ada indikasinya seperti ‘Bluetooth Devices’ contohnya.
Lihat gambar penuh tulisan Killer Tech Tips di sini.
Ketiga.
(Saya guna cara ini kerana saya lupa ada atau tidak bluetooth dalam netbook saya.)
Saya google perkataan ‘Bluetooth’ bersama nama model netbook saya untuk mencari spesifikasinya. Jadi, boleh cuba
Jumpa lagi!
Wassalam.
-WK-
Persiapan Sebelum Format Komputer
by waidakmy on July 7, 2010
in Penyelenggaraan PC
Assalamualaikum dan Apa khabar?
Dahulu, saya pernah berkongsi selesaikah masalah komputer apabila format. Sekiranya itulah jalan terakhir menyelesaikan masalah, tiada salahnya format komputer kita.
Oleh itu, mari kita sama-sama lihat senarai semak, iaitu perkara-perkara penting yang perlu dibuat dan disediakan sebelum format.
Kelengkapan Sebelum Mula Format
1. Perisian Windows / Operating System
Ini wajib!
Seperti proses install perisian biasa, kita wajib ada perisian Windows / Operating System yang lain untuk format komputer. Biasanya, perisian Windows dalam bentuk CD atau DVD.
Namun, Windows boleh dipindahkan kepada USB atau pen drive. Sekiranya sudah ada CD / DVD Windows, gunakan perisian WinToFlash untuk pindahkan ia ke pen drive.
Sekiranya tiada, pindahkan juga ke pen drive menggunakan perisian khas, tetapi, memerlukan sekurang-kurangnya pen drive 2GB.
2. CD / DVD Installer Driver & Software
Ini kedua penting!
Kebanyakan software mudah dicari dan dapat kita download dari Internet, melainkan perisian yang dibeli. Namun, amat kritikal bagi kita mempunyai CD driver supaya mudah install semula driver di komputer selepas format.
Sekiranya kita masih tiada installer bagi driver tersebut, download atau backup sebelum mula format komputer. Taip sahaja nama hardware yang kita cari driver-nya, Tuan Puan akan ketemu jawapannya melalui Pakcik Google.
Selain itu, ada alternatif lain, iaitu backup Windows menggunakan Norton Ghost. Ia menyalin semua data Windows ke dalam komputer kita, jadi, tidak perlu bersusah payah install semula perisian & driver.
Satu lagi alternatif backup driver.
3. Backup Data Penting
Apa-apa boleh terjadi kepada komputer kita ketika proses format berlaku. Sebaiknya, buat backup pada fail-fail penting. Jika tidak, menangis tidak berlagulah kita!
Itu sahaja 3 kelengkapan penting sebelum mula format
Jumpa lagi!
-WK-
Cara Mencari Maklumat Di Google
by waidakmy on June 19, 2010
in Tips-Tips Komputer
Assalamualaikum dan Apa khabar?

Hamid menjawab soalan Azlan culas, “Buka sahaja Google, sumber maklumat satu dunia itu dan cari di situ!”
Barangkali Hamid terlupa, tanpa panduan yang betul, seseorang itu boleh sesat, hatta dalam Google sekalipun.
Jika memandu di lebuhraya tanpa panduan, kita akan sesat dan tidak sampai di destinasi. Kalau sesat dalam Google, ia boleh jadi information overload!
Paling penting adalah bertemu dengan apa yang kita cari. Justeru, ketepatan carian kita bergantung kepada kata kunci yang betul.
Saya juga masih belajar dalam perkara ini. Namun, ada beberapa tips yang saya boleh kongsikan. Antaranya,
Bagaimana mencari makna perkataan atau istilah?
a) Define
Contohnya, saya mahu mencari makna information overload. Saya akan tulis define: information overload dalam ruangan search Google.
b) What Is
Frasa what is boleh juga digunakan untuk mencari makna perkataan. Contohnya,
What is IP address
c) Apa itu
Frasa ‘apa itu’ juga boleh digunakan kerana ia banyak digunakan oleh blogger Melayu dalam menerangkan sesetengah istilah teknikal.
Cari ‘Apa itu IP address’, Tuan Puan akan menemukan maksudnya
——
Azlan menggaru-garu kepalanya sebelum meluahkan rasa hatinya kepada Rahmat, “Masalahnya, aku tidak tahu langsung apa yang aku mahu cari!”
Saya setuju, kadang-kadang kita sendiri tidak tahu apa masalah kita sendiri. Seorang lelaki memberitahu saya, “50 peratus masalah kita akan selesai apabila kita tahu dan faham apa masalah kita.”
Bagaimana Mengenalpasti Masalah Sendiri?
Walaupun sukar, ia tidak mustahil asalkan ada kemahuan mencarinya.
Amirah mengadu kepalanya pening kepada Doktor Fariha. “Boleh ceritakan pada saya, pening bagaimana Amirah rasa?” tanya Doktor Fariha dengan lanjut.
Dalam situasi begini, kita akan menceritakan simptom – simptom yang kita alami, iaitu penerangan kepada sakit yang kita hadapi.
Justeru, apabila mencari di Google, mulakan dengan kata kunci simptom masalah komputer yang kita hadapi. Jika bertemu terus dengan penyelesaian yang dicari, itu bonus!
Jika tidak, gunakan kata kunci baru untuk menerangkan simptom lain pula. Apabila kita langsung tidak bertemu apa yang kita cari, gunakan simptom itu untuk kenalpasti istilah yang tepat sebelum cari penyelesaiannya.
Kesimpulannya,
1 – Ceritakan Simptom
2 – Kenal pasti istilah betul
3 – Cari Penyelesaian
Selamat mencuba dan jumpa lagi!
-WK-
Hantar Laman Web Ke Google
by waidakmy on June 6, 2010
in Tutorial Komputer
Assalamualaikum dan Apa khabar?

Kredit gambar kepada Tuan Zamri Mohamad.
Siang tadi saya ke bengkel blogshop Tuan Zamri Mohamad yang mengajar cara-cara menjual produk menggunakan blog. Apabila ramai berkata menjual produk di blog tidak profesional, masakan penduduk Singapura yang sedikit itu rata-ratanya membuka blogshop?
Saya bukan ingin bercerita tentang blogshop di sini, tetapi berkongsi dengan Tuan Puan salah satu soalan yang ditanya peserta bengkel tadi.
“Bagaimana membuat blog kita berada dalam enjin carian?”
Blog Tiada Dalam Enjin Carian?
Maksudnya, apabila Tuan Puan taip ‘Wanita dan Komputer‘, Tuan Puan tidak bertemu dengan WaidaKmy.com.
Baik, sebenarnya Tuan Puan tidak perlu buat apa-apa setelah laman web dibina. Secara naturalnya, ia akan dimasukkan juga ke Google dan Yahoo, sekiranya ada usaha mengemas kini dilakukan oleh pemilik web. Tetapi, ia lambat lagi-lagi jika tiada usaha mengemas kini laman web atau blog dilakukan.
Jadi, bagaimana?
Hantar Url Ke Google Dan Yahoo
Secara tidak naturalnya, kita yang maklumkan kepada Google dan Yahoo dan minta mereka melawat blog kita.
Caranya, hantar laman web atau blog kepada mereka.
1 – Buka Google Add Url
2 – Masukkan alamat laman web Tuan Puan pada ruang URL dan ikut arahan seterusnya di situ.
Yahoo
1 – Buka Yahoo Submit Your Site
2 – Ikuti arahan yang diminta di situ seperti masukkan alamat laman web atau blog Tuan Puan.
Itu saja
Jumpa lagi!
-WK-
Apa itu Speed Test?
by waidakmy on May 23, 2010
in Asas Internet
Assalamualaikum dan Apa khabar?

Uji kelajuan Internet saudara sekarang!
Speed Test
Artikel ini bukan ditujukan kepada individu yang ingin tahu kenapa internet mereka perlahan. Sebaliknya, saya ingin berkongsi apa yang kita boleh ketahui selepas melakukan ujian ini.
Speed test ini kita lakukan apabila ingin menguji kelajuan Internet yang kita perolehi. Sekurang-kurangnya kita tahu adakah apa yang kita dapat itu sama seperti yang kita bayar. Andai kata hasil ujian itu kurang 50 – 70% dari kelajuan sepatutnya, kita boleh memaklumkan kepada penyedia Internet, baik Streamyx, Celcom, Maxis atau Digi Broadband dan lain-lain.
Hasil Ujian Speed Test
Mari kita lihat hasil ujian yang saya buat dalam gambar di atas.
Download: 0.82 Mb/s
Upload: 0.39 Mb/s
Ping: 42 ms
Dari keputusan di atas, didapati download speed adalah 0.82 Mega bit per second. Upload speed pula sekitar 0.39 Mega bit per second. Ping pula selama 42 mili second.
Download Speed
Ini adalah kelajuan yang diperolehi semasa download, iaitu 0.82 Mb/s. Maksudnya, sebanyak 0.82 mega bit atau 820 kilo bit data telah dihantar dalam masa satu saat.
(Nota: Satu saat ditunjukkan dengan /s atau ps dalam Mbps atau Mb/s)
Kelajuan Streamyx yang saya langgan adalah: 1Mb/s
Mari kita kira peratusan penurunan 1Mb ke 0.82Mb seperti di bawah.
Peratus = [(1 - 0.82) / 1 ] x 100 = 18%
Dari kiraan di atas, penurunan adalah sebanyak 18%, oleh itu, kelajuan yang saya perolehi cuma 82% dari kelajuan sepatutnya.
Ini adalah normal. Jika saya cuma mendapatnya separuh dan ke bawah, itu tidak normal.
Upload Speed
Ini adalah kelajuan ketika upload, iaitu 0.39 mega bit dalam sesaat.
Mengapa kelajuannya sangat kurang berbanding download, adalah kerana rata-rata kita semua lebih banyak download dari upload (seperti yang diceritakan di sini).
Artikel di situ juga menyebut, apa yang disediakan sudah memenuhi keperluan kita sebagai pengguna biasa. Lainlah, jika kita ini pengguna komersial atau bisnes.
Ping
Ping adalah sela masa yang diukur dari server di Internet ke komputer Tuan Puan.
Dari data di atas, kita boleh simpulkan, masa yang diambil dari server di Internet ke komputer saya adalah 42 mili second atau mili saat.
Apabila nombornya lebih besar, masa yang diambil untuk sampai ke komputer kita dari server adalah lebih lama. Dan, lebih banyak data hilang dalam perjalanan.
Maklumat lanjut boleh dibaca di sini.
Semoga apa yang saya kongsikan membantu Tuan Puan!
Wassalam dan jumpa lagi!
-WK-




