Cara Mencari Maklumat Di Google

by waidakmy on June 19, 2010
in Tips-Tips Komputer

Assalamualaikum dan Apa khabar? :)

Laman Web Google

Hamid menjawab soalan Azlan culas, “Buka sahaja Google, sumber maklumat satu dunia itu dan cari di situ!”

Barangkali Hamid terlupa, tanpa panduan yang betul, seseorang itu boleh sesat, hatta dalam Google sekalipun.

Jika memandu di lebuhraya tanpa panduan, kita akan sesat dan tidak sampai di destinasi. Kalau sesat dalam Google, ia boleh jadi information overload!

Paling penting adalah bertemu dengan apa yang kita cari. Justeru, ketepatan carian kita bergantung kepada kata kunci yang betul.

Saya juga masih belajar dalam perkara ini. Namun, ada beberapa tips yang saya boleh kongsikan. Antaranya,

Bagaimana mencari makna perkataan atau istilah?

a) Define

Contohnya, saya mahu mencari makna information overload. Saya akan tulis define: information overload dalam ruangan search Google.

b) What Is

Frasa what is boleh juga digunakan untuk mencari makna perkataan. Contohnya,

What is IP address

c) Apa itu

Frasa ‘apa itu’ juga boleh digunakan kerana ia banyak digunakan oleh blogger Melayu dalam menerangkan sesetengah istilah teknikal.

Cari ‘Apa itu IP address’, Tuan Puan akan menemukan maksudnya ;)

——

Azlan menggaru-garu kepalanya sebelum meluahkan rasa hatinya kepada Rahmat, “Masalahnya, aku tidak tahu langsung apa yang aku mahu cari!”

Saya setuju, kadang-kadang kita sendiri tidak tahu apa masalah kita sendiri. Seorang lelaki memberitahu saya, “50 peratus masalah kita akan selesai apabila kita tahu dan faham apa masalah kita.”

Bagaimana Mengenalpasti Masalah Sendiri?

Walaupun sukar, ia tidak mustahil asalkan ada kemahuan mencarinya.

Amirah mengadu kepalanya pening kepada Doktor Fariha. “Boleh ceritakan pada saya, pening bagaimana Amirah rasa?” tanya Doktor Fariha dengan lanjut.

Dalam situasi begini, kita akan menceritakan simptom – simptom yang kita alami, iaitu penerangan kepada sakit yang kita hadapi.

Justeru, apabila mencari di Google, mulakan dengan kata kunci simptom masalah komputer yang kita hadapi. Jika bertemu terus dengan penyelesaian yang dicari, itu bonus!

Jika tidak, gunakan kata kunci baru untuk menerangkan simptom lain pula. Apabila kita langsung tidak bertemu apa yang kita cari, gunakan simptom itu untuk kenalpasti istilah yang tepat sebelum cari penyelesaiannya.

Kesimpulannya,

1 – Ceritakan Simptom

2 – Kenal pasti istilah betul

3 – Cari Penyelesaian

Selamat mencuba dan jumpa lagi!

-WK-

Hantar Laman Web Ke Google

Assalamualaikum dan Apa khabar? :)

Bengkel Blogshop

Kredit gambar kepada Tuan Zamri Mohamad.

Siang tadi saya ke bengkel blogshop Tuan Zamri Mohamad yang mengajar cara-cara menjual produk menggunakan blog. Apabila ramai berkata menjual produk di blog tidak profesional, masakan penduduk Singapura yang sedikit itu rata-ratanya membuka blogshop?

Saya bukan ingin bercerita tentang blogshop di sini, tetapi berkongsi dengan Tuan Puan salah satu soalan yang ditanya peserta bengkel tadi.

“Bagaimana membuat blog kita berada dalam enjin carian?”

Blog Tiada Dalam Enjin Carian?

Maksudnya, apabila Tuan Puan taip ‘Wanita dan Komputer‘, Tuan Puan tidak bertemu dengan WaidaKmy.com.

Baik, sebenarnya Tuan Puan tidak perlu buat apa-apa setelah laman web dibina. Secara naturalnya, ia akan dimasukkan juga ke Google dan Yahoo, sekiranya ada usaha mengemas kini dilakukan oleh pemilik web. Tetapi, ia lambat lagi-lagi jika tiada usaha mengemas kini laman web atau blog dilakukan.

Jadi, bagaimana?

Hantar Url Ke Google Dan Yahoo

Secara tidak naturalnya, kita yang maklumkan kepada Google dan Yahoo dan minta mereka melawat blog kita.

Caranya, hantar laman web atau blog kepada mereka.

Google

1 – Buka Google Add Url

2 – Masukkan alamat laman web Tuan Puan pada ruang URL dan ikut arahan seterusnya di situ.

Yahoo

1 – Buka Yahoo Submit Your Site

2 – Ikuti arahan yang diminta di situ seperti masukkan alamat laman web atau blog Tuan Puan.

Itu saja :)

Jumpa lagi!

-WK-

Apa itu Speed Test?

by waidakmy on May 23, 2010
in Asas Internet

Assalamualaikum dan Apa khabar? :)

Uji Kelajuan Streamyx

Uji kelajuan Internet saudara sekarang!

Speed Test

Artikel ini bukan ditujukan kepada individu yang ingin tahu kenapa internet mereka perlahan. Sebaliknya, saya ingin berkongsi apa yang kita boleh ketahui selepas melakukan ujian ini.

Speed test ini kita lakukan apabila ingin menguji kelajuan Internet yang kita perolehi. Sekurang-kurangnya kita tahu adakah apa yang kita dapat itu sama seperti yang kita bayar. Andai kata hasil ujian itu kurang 50 – 70% dari kelajuan sepatutnya, kita boleh memaklumkan kepada penyedia Internet, baik Streamyx, Celcom, Maxis atau Digi Broadband dan lain-lain.

Hasil Ujian Speed Test

Mari kita lihat hasil ujian yang saya buat dalam gambar di atas.

Download: 0.82 Mb/s

Upload: 0.39 Mb/s

Ping: 42 ms

Dari keputusan di atas, didapati download speed adalah 0.82 Mega bit per second. Upload speed pula sekitar 0.39 Mega bit per second. Ping pula selama 42 mili second.

Download Speed

Ini adalah kelajuan yang diperolehi semasa download, iaitu 0.82 Mb/s. Maksudnya, sebanyak 0.82 mega bit atau 820 kilo bit data telah dihantar dalam masa satu saat.

(Nota: Satu saat ditunjukkan dengan /s atau ps dalam Mbps atau Mb/s)

Kelajuan Streamyx yang saya langgan adalah: 1Mb/s

Mari kita kira peratusan penurunan 1Mb ke 0.82Mb seperti di bawah.

Peratus = [(1 - 0.82) / 1 ] x 100 = 18%

Dari kiraan di atas, penurunan adalah sebanyak 18%, oleh itu, kelajuan yang saya perolehi cuma 82% dari kelajuan sepatutnya.

Ini adalah normal. Jika saya cuma mendapatnya separuh dan ke bawah, itu tidak normal.

Upload Speed

Ini adalah kelajuan ketika upload, iaitu 0.39 mega bit dalam sesaat.

Mengapa kelajuannya sangat kurang berbanding download, adalah kerana rata-rata kita semua lebih banyak download dari upload (seperti yang diceritakan di sini).

Artikel di situ juga menyebut, apa yang disediakan sudah memenuhi keperluan kita sebagai pengguna biasa. Lainlah, jika kita ini pengguna komersial atau bisnes.

Ping

Ping adalah sela masa yang diukur dari server di Internet ke komputer Tuan Puan.

Dari data di atas, kita boleh simpulkan, masa yang diambil dari server di Internet ke komputer saya adalah 42 mili second atau mili saat.

Apabila nombornya lebih besar, masa yang diambil untuk sampai ke komputer kita dari server adalah lebih lama. Dan, lebih banyak data hilang dalam perjalanan.

Maklumat lanjut boleh dibaca di sini.

Semoga apa yang saya kongsikan membantu Tuan Puan! :)

Wassalam dan jumpa lagi!

-WK-

Sekitar kehilangan sebulan WK

by waidakmy on May 21, 2010
in Coretan WK

Assalamualaikum dan Apa khabar? :)

Alhamdulillah saya masih dikurniakan peluang berbakti di dunia yang sementara ini. Ke’hilang’an saya sementara dari blog kerana memberi laluan kepada kerja-kerja penulisan proposal novel. Semoga ia diterima dan bolehlah saya menulis novel!

Oh ya, ada baiknya saya buat penafian terlebih dahulu. Penulisan novel cinta bukanlah untuk saya. Insya Allah, saya akan menulis novel kanak-kanak dan remaja. Lebih menyeronokkan tulis genre selain genre cinta. Azam saya menyemarakkan sifat berdikari dan eksplorasi perkara-perkara baru ke dalam jiwa kanak-kanak dan remaja. Amin!

Buku Eksperimen Sains dan Teknologi

Jika ada sesiapa mengatakan novel dalam bidang sains dan teknologi belum ada di Malaysia, mereka silap :) Ini buku tulisan seorang sahabat penulis, Umi Danial. Dengar cerita, buku Tim BEST: Eksperimen Ke-2 akan terbit tidak lama lagi.

Doakan saya berjaya! Amin…

-WK-

PS: Walaupun menulis novel, blog ini tetap akan saya update, Insya Allah. Entri ini sebagai pemanas enjin setelah berehat seketika selama sebulan.

Nota: Penulisan buku komputer terpaksa saya tangguhkan atas faktor-faktor tertentu. Jika ada rezeki, ia akan disambung pada masa hadapan, Insya Allah. Sementara itu, saya akan terus menulis di blog. Lebih mudah dan cepat menemui Tuan Puan semua

Makna Freeware dan Open Source

by waidakmy on April 21, 2010
in Perisian

Assalamualaikum dan Apa khabar? :)

Kata mentor, “Ini zaman ‘free economy’. Siapa mampu beri percuma dia akan menang.”

Tambah mentor lagi, “Sebab itu Google boleh mendominasi.”

Itu di dalam dunia bisnes.

Dalam dunia komputer juga, trend sekarang memberi perisian dengan percuma. Perisian percuma itu dibahagi dua.

1. Freeware

Apa itu Freeware?

Mengikut Wikipedia,

Perisian yang diberi percuma untuk digunakan. Atau, diberi pilihan membayar jika mahu.

2. Open Source

Apa itu Open Source?

Seperti Freeware, Open Source (sumber terbuka) juga percuma. Tetapi, ada satu ciri ekstra daripada Freeware. Iaitu, sesiapa boleh mengubahsuai kod asal.

Nota: Kod asal atau source code adalah bahasa ‘komputer’ yang membentuk perisian atau program itu.

Bermakna, kita semua bebas mengubahsuainya jika mahu. Asalkan tahu bahasa programming yang digunakan. Juga bermakna, tiada syarikat memiliki hak ke atasnya. Ia adalah milik komuniti.

Apa lagi kelas perisian yang ada?

Mari kita lihat kelas – kelas perisian lain yang ada.

3. Shareware

Apa itu Shareware?

a) Perisian yang diberi percuma sampai bila-bila. Tetapi fungsinya terhad.  Untuk mendapatkan kesemua fungsi perisian, ia harus dibeli.

b) Perisian yang diberi percuma. Fungsi lengkap tetapi dalam tempoh yang terhad. Contoh, selepas 30 hari atau 60 hari, perisian itu tidak boleh digunakan lagi.

Asalnya, perisian ini berbayar. Tetapi, jika kesemuanya berbayar, tiada yang mahu guna. Oleh itu, syarikat perisian mewujudkan versi shareware. Tujuannya supaya kita boleh cuba perisian itu. Kita suka, kita bayar :)

4. Payware

Apa itu Payware?

Perisian yang kita perlu bayar untuk menggunakannya. As simple as that. Ini biasa kita temui.

Nota: Perkataan Payware ini juga baru saya ketahui waktu saya menulisnya!

Semoga bermanfaat! (Jika suka, sebar-sebarkan sahaja maklumat di sini)

Dan, jumpa lagi!

-WK-

« Previous PageNext Page »