[Tutorial] Cari dan Install Driver
by waidakmy on November 4, 2009
in Tutorial Komputer
Assalamualaikum dan Apa khabar?
Saya telah pun sentuh peri pentingnya driver bagi sesebuah hardware. Bila ada saja masalah, salah satu cara adalah semak adakah wujud atau tidak driver hardware itu. Kemudian cari dan pasang semula driver untuk hardware itu di komputer.
Berkata-kata memang mudah. Jadi, saya akan tulis tutorial di bawah, langkah demi langkah untuk membantu anda. Bayangkan anda berada di situasi berikut…
Situasi:
Ahmad baru saja selesai format komputer yang telah 8 tahun digunanya. Di saat waktu menghantar manuskrip bakal tiba, printer HP model 1100 kepunyaannya pula bermasalah. Tidak mahu mencetak walaupun telah dihidupkan. Apakah yang Ahmad boleh lakukan dalam situasi ini?
Penyelesaian:
1. Semak sambungan printer telah dipasang dengan betul.
Biasanya ada satu sambungan wayar elektrik dari punca elektrik ke printer, dan satu lagi sambungan USB dari printer ke komputer.
[Okay. Semua disambung dengan betul]
2. Printer itu boleh dihidupkan? Ada kertas?
Printer telah dihidupkan, dan kertas telah pun dimasukkan.
[Masih tidak berjaya dicetak lalu Ahmad melihat adakah komputer dapat mengenalpasti printer]
3. Semak adakah printer dikenal pasti oleh komputer?
Buka ‘Printer and Faxes’ dalam ‘Settings’ atau di ‘Control Panel’.
[Tiada ikon Printer HP 1100 di situ. Maka Ahmad harus install printer terlebih dulu ke dalam komputer]
4. Install semula driver dan perisian yang ada
Selalunya, driver dan perisian akan diberi sekali ketika membeli apa-apa hardware.
[Ah! Sekali CD sudah hilang dari simpanan.]
5. Cari driver untuk printer secara online dan muat turun
Jika tiada driver dalam simpanan, ia boleh dicari dari laman web jenama hardware itu. Memandangkan printer yang dibeli adalah jenama HP, jadi Ahmad mencari driver daripada laman web HP, untuk printer model 1100.
[Andai kata, jenama hardware tidak diketahui. Contohnya motherboard, soundcard, video card atau lain-lain hardware yang susah untuk dilihat secara terus. Lihat jenama atau model di Device Manager]
Bacaan Tambahan: ‘Bagaimana membuka Device Manager‘
6. Install driver!
Buka sekali lagi Device Manager. Klik 2 kali pada printer HP 1100′. Oleh sebab printer disambung melalui USB, printer Ahmad akan berada di bawah kategori ‘Universal Serial Bus Controllers’ atau USB.
Kemudian, pilih tab ‘Driver’ dan klik ‘Update Driver’.
Dan ikutilah wizard yang diberikan.
Secara ringkasnya, tujukan wizard ke tempat di mana anda muat turun driver tadi, dan seterusnya ikut saja apa yang tertera hehe.
[Selesai!]
Sekianlah tutorial untuk kali ini
Jumpa lagi! Wassalam
-WK-
Apa itu Driver ?
by waidakmy on October 31, 2009
in Asas Komputer
Assalamualaikum dan Apa khabar?
“…laptop saya ada web cam, tetapi saya tak tahu menggunakannya”
“…selepas format, sound komputer saya hilang. Macam mana saya nak dapatkan kembali sound dari komputer saya itu..”
Dua masalah yang kelihatan berbeza, namun hakikatnya ia serupa.
Memandangkan saya sudah pun membalas jawapan yang sesuai kepada pengirim soalan, saya hanya ingin mengulas KENAPA perkara ini boleh terjadi dalam artikel ini. Supaya kita mudah mencari penyelesaian yang sesuai, untuk apa saja masalah yang mendatang, Insya Allah.
Bagaimana Dua Mesin Berkomunikasi?
Pernahkah kita terfikir bagaimana sesuatu hardware (komponen komputer) itu boleh dibaca dengan mudah oleh komputer, atau spesifiknya CPU?
Kedua-duanya mesin. Bagaimana sambung saja kabel di antara kedua-duanya, ia boleh berkomunikasi antara satu sama lain? Masing-masing bukan ada suara seperti kita. Kalau hardware yang tiada wayar (atau wayarles), lebih menghairankan kerana tidak bersambung secara terus.
Program Satu Perantara Yang Bagus
Di sinilah terletak peranan software (perisian) untuk menghubungkan kedua-dua mesin ini. Software atau bahasa ringkasnya program, yang membantu mereka berkomunikasi.
Program ini pula, kita boleh bahagikan kepada dua jenis, program bahasa tinggi dan rendah. Memandangkan mesin ini dikategorikan kurang bijak, bahasa program yang digunakan perlu rendah, dan mudah-mudah saja.
Tidak sekompleks bahasa program tinggi yang sesuai untuk manusia. Bukankah Allah cipta kita lebih bijak daripada mesin kerana adanya otak (perlu gunakannya…)
Ringkas kata, program akan menjadi perantara atau penghubung komunikasi dua mesin. Atau kita boleh terjemahkannya seperti di bawah
Mesin A -> Program Bahasa Rendah A -> Program Bahasa Tinggi A -> Manusia -> Program Bahasa Tinggi B -> Program Bahasa Rendah B -> Mesin B
Program bahasa rendah inilah yang kita panggil driver, dan program bahasa tinggi inilah perisian yang kita gunakan setiap hari.
Tiada Driver, Tiadalah Komunikasi
Jadi inilah sebabnya, setiap kali selepas format, jika tidak install semula driver untuk komponen tertentu, akan ada saja masalah. Speaker tidak berbunyi. Printer tidak berfungsi. Bagaimana pula boleh berfungsi, jika komunikasi terputus?
Begitu juga jika kita ingin menggunakan sesuatu hardware baru. Penting untuk kita install driver dan software yang diberi, supaya ia boleh berfungsi dengan baik.
Inilah punca saya kurang gemar format
melainkan terpaksa. Manakan tidak, kita perlu install semula driver dan perisian satu persatu. Meletihkan. Lebih haru jika kita terhilangkan CD driver. Tidakpun, lakukan operasi Ghost kepada komputer anda.
Semoga artikel ini menjawab persoalan anda yang tertanya-tanya apa itu driver!
Jumpa lagi!
-WK-
PS: Saya pernah bertanya kepada Pembaca Setia WK, apakah topik yang mereka inginkan. Waktu itu, saya ingin menulis ebook. Ia tidak jadi lagi selepas merasakan lebih baik tulisan yang ada dikumpul menjadi buku. Lebih praktikal dan tidaklah terperap dalam komputer saja. Jadi, doakan buku saya berjaya menemui anda di masa depan
Apapun, terima kasih atas cadangan yang diberi dulu. Cadangan-cadangan anda memang saya simpan baik-baik kesemuanya







