Bila harddisk semakin penuh

by waidakmy on October 4, 2009
in Asas Komputer

Salam dan Apa khabar? :)

Saya suka simpan gambar, video dan lagu. Sekarang saya simpan dalam pendrive & laptop saya. Sudah tidak muat lagi. Orang kata save semua dalam external hard disk. Apa itu? Boleh terangkan & anggaran harga berapa? Selain dalam hard disk, di mana lagi boleh saya simpan semua itu?

Saya terfikir untuk kongsikan jawapan saya kepada persoalan salah seorang pembaca. Moga tuan puan pun mendapat manfaatnya sama. Buat yang bertanya, saya suka cik puan bertanya!

——————————————————————————–

Jawapan Saya

Nota: Telah ditokok-tambah supaya sesuai ditujukan buat tuan puan yang sedang membaca artikel ini.

Tidak semestinya perlu disimpan dalam external harddisk. Boleh juga disimpan dalam DVD/CD. Kosnya lebih murah. Yang penting perlu ada DVD burner, dan gunakan DVD yang berkualiti. DVD yang berkualiti tahan lebih lama, lebih-lebih lagi kita ingin simpan dalam tempoh yang lama.

Apa itu External Harddisk?

External Harddisk 2.5 inci

External Harddisk 2.5 inci

Sumber gambar di sini

External harddisk ini konsepnya sama seperti harddisk, cuma ia di luar komputer. Ada bekas (dipanggil casing) tersendiri. Tujuannya untuk simpan data juga. Diakses melalui USB (seperti pendrive).

External harddisk ini ada 2 jenis. 3.5 inci dan 2.5 inci. Yang biasa dibawa orang ke mana-mana itu yang bersaiz 2.5 inci. Jarang sekali orang membawa harddisk saiz 3.5 inci itu kerana besar.

External harddisk 3.5 inci

External harddisk 3.5 inci

Sumber gambar di sini

Harga pula bergantung kepada saiz kapasiti harddisk. Semakin besar Giga-nya, ia semakin mahal. Berdasarkan harga di forum lowyat.net (senarai harga di sebelah kiri), harga external harddisk dalam lingkungan RM200 ke RM500. Melainkan tuan puan membeli external harddisk 3.5″ berkapasiti 1 Terrabyte (1TB), ia boleh mencecah RM1k.

DVD atau External Harddisk?

Jika dibandingkan dengan DVD, kos sekeping DVD baru beberapa sen. Paling mahal pun tidak melebihi RM2. Kerana itu saya katakan di awal artikel ini, simpan dalam DVD lebih murah (dengan syarat komputer tuan puan sudah ada DVD burner).

Jika keliru untuk simpan pada DVD atau external harddisk, cadangan saya, lihat pada data-data yang tuan puan ingin simpan. Jika ingin disimpan dalam jangka panjang dan betul-betul penting, simpanlah dalam DVD. Jika hanya sementara, gunakanlah external harddisk. Jika tidak muat juga, pilih data yang benar-benar kita ingin simpan. Sampai bila-bila pun tidak akan muat! :)

————————————————————————–

Tuan puan ada cadangan tempat selain daripada yang saya nyatakan di atas?

-WK-