Persiapan Sebelum Format Komputer
by waidakmy on July 7, 2010
in Penyelenggaraan PC
Assalamualaikum dan Apa khabar?
Dahulu, saya pernah berkongsi selesaikah masalah komputer apabila format. Sekiranya itulah jalan terakhir menyelesaikan masalah, tiada salahnya format komputer kita.
Oleh itu, mari kita sama-sama lihat senarai semak, iaitu perkara-perkara penting yang perlu dibuat dan disediakan sebelum format.
Kelengkapan Sebelum Mula Format
1. Perisian Windows / Operating System
Ini wajib!
Seperti proses install perisian biasa, kita wajib ada perisian Windows / Operating System yang lain untuk format komputer. Biasanya, perisian Windows dalam bentuk CD atau DVD.
Namun, Windows boleh dipindahkan kepada USB atau pen drive. Sekiranya sudah ada CD / DVD Windows, gunakan perisian WinToFlash untuk pindahkan ia ke pen drive.
Sekiranya tiada, pindahkan juga ke pen drive menggunakan perisian khas, tetapi, memerlukan sekurang-kurangnya pen drive 2GB.
2. CD / DVD Installer Driver & Software
Ini kedua penting!
Kebanyakan software mudah dicari dan dapat kita download dari Internet, melainkan perisian yang dibeli. Namun, amat kritikal bagi kita mempunyai CD driver supaya mudah install semula driver di komputer selepas format.
Sekiranya kita masih tiada installer bagi driver tersebut, download atau backup sebelum mula format komputer. Taip sahaja nama hardware yang kita cari driver-nya, Tuan Puan akan ketemu jawapannya melalui Pakcik Google.
Selain itu, ada alternatif lain, iaitu backup Windows menggunakan Norton Ghost. Ia menyalin semua data Windows ke dalam komputer kita, jadi, tidak perlu bersusah payah install semula perisian & driver.
Satu lagi alternatif backup driver.
3. Backup Data Penting
Apa-apa boleh terjadi kepada komputer kita ketika proses format berlaku. Sebaiknya, buat backup pada fail-fail penting. Jika tidak, menangis tidak berlagulah kita!
Itu sahaja 3 kelengkapan penting sebelum mula format
Jumpa lagi!
-WK-
Kegunaan Safe Mode
by waidakmy on March 27, 2010
in Troubleshooting PC
Assalamualaikum dan Apa khabar?
Pertamanya, maafkan saya jika ada antara emel dari Tuan Puan yang saya belum balas lagi. Saya akan usahakan untuk balas berperingkat-peringkat. Saya juga fobia melihat kotak emel saya sekarang dek banyaknya emel berwarna merah.
Nota: Saya label surat pembaca sebagai warna merah. Supaya saya tertekan melihatnya dan segera membalas! Hehe.
Membaca emel daripada Tuan Hermizi tentang laptop rakannya yang bermasalah, sukar juga untuk saya membalas. Masih kurang ilmu di dada untuk membalas tanpa mengetahui secara lengkap masalah yang terjadi.
(Itu juga salah satu sebab kenapa saya lambat membalas sesetengah emel. Tiada idea untuk balas apa. Perlu cari di Internet terlebih dahulu untuk cuba hipotesis pelik yang terlintas di kepala.)
Safe Mode
Di bawah adalah salah satu hipotesis pelik yang saya pegang. Amaran: Kesemua ini belum dibuktikan sepenuhnya.
Saya percaya,
1 – Jika sesebuah komputer itu berjaya masuk ke Safe Mode, komputer itu masih boleh diselamatkan.
2 – Jika boleh masuk ke Safe Mode, tetapi bukan mod normal (Windows), yang rosak itu adalah pada software, bukan hardware.
3 – Software yang rosak itu boleh jadi ‘application software’ atau Windows.
4 – Jika application software yang rosak, uninstall dan install semula.
5 – Selepas uninstall software yang disyaki menganggu sistem komputer, restart dan lihat sama ada berjaya masuk ke mod normal.
6 – Jika tidak berjaya, software lain yang menjadi ‘culprit’, bukan software yang kita uninstall sebelum itu.
7 – Kita tentukan software ‘culprit’ dengan memikirkan software apa kita pasang sebelum masalah terjadi.
8 – Jika Windows yang rosak, cuba mod ‘System Restore’ di Start >> Programs >> Accessories >> System Tools.
9 – Jika masih tidak berjaya, jalan senang tetapi leceh adalah format!
Nota: Application software adalah perisian / software yang kita install di komputer selepas Windows siap di-install.
Itulah 9 hipotesis berangkai yang boleh dicuba jika menghadapi masalah komputer, seperti yang dihadapi rakan Tuan Hermizi.
Jumpa lagi!
-WK-
PS: Saya sedang mempelbagaikan teknik penulisan. Hehe.
4 Langkah Selesaikan Masalah Komputer
by waidakmy on July 2, 2009
in Troubleshooting PC
Salam dan Apa khabar?
“Habis tu kalau tak format nak buat macam mana? Takkan nak biarkan macam tu jer?” komen Asrol dalam post saya yang lepas.
Untuk Apa Format Itu?
Bukanlah tidak boleh. Boleh, cuma bagi saya, format selalunya perkara terakhir dalam proses menyelesaikan masalah komputer. Saya biasa bertanya pada diri,
“Kalau aku format komputer, rasa-rasanya selesai tak masalah ni?”
Kadang-kadang, bukan satu saja penyelesaian yang datang, malah timbul pula idea alternatif. Mungkin ada yang mempersoalkan,
“Kau tak apalah, waida. kau tahu banyak perkara tentang komputer”
Jangan anggap saya begitu. Saya juga manusia biasa. Ada perkara yang saya tahu. Ada perkara juga yang di luar pengetahuan saya. Malah, ada pembaca blog ini yang lebih hebat ilmu komputernya dari saya
Antaranya, K, Garfield, Shahrul, Dekan dan lain-lain lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Ada antara mereka ini yang belajar secara formal lagi.
Jujurnya, saya hanya tahu dan minat tentang troubleshooting komputer, apabila saya memiliki komputer saya sendiri 9 tahun lepas. Saya memang berterima kasih pada masalah-masalah yang melanda komputer saya selama ini
Cumanya, saya yang bukan graduan IT ini, bolehlah cuba kongsikan apa proses menyelesaikan masalah (troubleshooting) yang saya lakukan. Mungkin ia dapat membantu anda, sebagaimana ia membantu saya.
Langkah-Langkah Troubleshooting Sendiri Komputer
1. Jangan Panik
Ya, jangan panik, walau komputer anda terbakar sekalipun
Bila tenang, barulah anda boleh berfikir dengan jelas
2. Berkenal-kenalan Dengan Masalah
Apa saja notifikasi (pop up) yang keluar di komputer anda, hatta skrin biru (Blue Screen On Death) pun, jangan tutup atau abaikannya. Sebaliknya, salin apa yang diberitahu di situ walaupun anda tidak faham langsung apa yang disalin. Jika panjang, hanya salin yang utama saja.
3. Fahami Masalah
Ini proses yang memakan masa serta memerlukan kerajinan dan ketabahan anda. Biasalah, bukankah memang memakan masa untuk mengenali dan memahami seseorang?
Kata kunci yang sudah disalin di langkah 2 tadi, taip kesemuanya di enjin carian, sama ada Google atau Yahoo. Kebiasaannya, masalah yang kita hadapi itu, juga dialami orang lain.
Anda perlu saring satu persatu keputusan enjin carian yang terpapar. Saya akui, bukan senang untuk menyaring penyelesaian yang ada. Saya sendiri pun kadang-kadang pening (rasa mahu muntah pun ada) melihat penyelesaian yang ada.
Tips Dari Saya
a – Gunakan (” “) ini sebelum dan selepas kata kunci yang anda masukkan dalam enjin carian
b – Cari masalah yang seakan-akan masalah anda. Jika tidak, abaikan saja
c – Selalunya penyelesaian lebih banyak dijumpai di forum-forum
4. Kategorikan Masalah
Berdasarkan penyelesaian yang anda jumpa, kategorikan masalah anda. Adakah ia masalah hardware (benda-benda fizikal, seperti kad grafik, printer, kad bunyi, RAM) atau software (benda-benda digital, contohnya perisian aplikasi seperti Microsoft Word, Adobe Reader, WinZip atau perisian Windows itu sendiri)
Jika ia satu masalah hardware, hantarlah ke kedai, jika anda tidak mempunyai keupayaan untuk membaikinya. Saya sendiri pun hantar ke kedai. Jika dibuktikan memang rosak, ia perlu diganti baru. Sambil-sambil hantar komponen itu ke kedai, tanyalah kenapa ia rosak. Untung-untung anda tahu kenapa ia boleh terjadi, dan boleh mengelakkannya kemudian hari.
Jika ia satu masalah software,
Jika perisian aplikasi? Saya lebih suka uninstall dan install saja semula perisian itu. Lebih mudah.
Jika perisian Windows? Bergantung kepada tahap kerosakan Windows anda. Selalunya, saya akan cuba baikinya (mengikut penyelesaian yang saya dah jumpa tadi) terlebih dulu, sebelum format. Itulah yang saya maksudkan sebagai format adalah langkah saya yang terakhir.
Ada Jalan Shortcut Tak?
Oh ya, jika rasa ia sesuatu yang susah dan menggunakan masa anda dengan banyak, jalan shortcut ada, iaitu hantar terus komputer ke kedai. Namun, haruslah bersedia untuk mengeluarkan wang. Sudah lumrah alam.
Mahu cepat dan mudah, mahal harganya
Mahu murah dan ringkas, lambatlah jawabnya
Mahu cepat, mudah dan murah, buatlah sendiri ya!
Ok, Apa yang anda buat bila hadapi masalah komputer?
Bacaan Tambahan: Bagaimana Format Komputer
-WK-
Selesaikah masalah dengan format komputer?
by waidakmy on June 25, 2009
in Troubleshooting PC
Salam dan Apa khabar?
Apabila membaca emel pembaca blog Wanita & Komputer sebegini, antaranya,
“Laptop saya ada masalah. Selalu keluar skrin biru kalau saya main game atau buka apa-apa program. Dah selalu sangat berlakunya, jadi saya ingat dah diserang virus. Maka, saya pun formatlah. Malangnya, dah lepas format pun masih jadi lagi…”
Nota: Emel telah disunting bagi memudahkan pembacaan memandangkan emel asal ditulis dalam bahasa sms.
Emel di atas memang menyedarkan saya, rupa-rupanya ada fahaman salah di antara kita.
“Format saja lah kan senang. Setel semua masalah”
“Ala…apa yang kau nak susahkan sangat. Format je”
“Slow sangat komputer tu. Baik kau format je”
Fahaman yang format komputer boleh menyelesaikan segala-galanya…
Tetapi,
Adakah benar dengan memformat komputer, ia boleh menyelesaikan semua masalah? SEMUA masalah, bukan sebahagian, bukan juga sekerat-kerat daripada masalah itu.

Sumber: Flickr (MFunnel)
Secara jujurnya, saya kurang gemar dengan perkataan ‘format’ dan juga melakukannya. Format sentiasa menjadi cara terakhir saya dalam menyelesaikan masalah komputer.
Penting untuk anda tahu, yang kadang-kadang, format tidak menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya, masalah berulang selepas komputer diformat. Malah, adakalanya ia menimbulkan masalah yang lain pula, terutamanya, jika pemilik tidak menyimpan driver komponen komputernya.
Mungkin sukar untuk anda memahami kenapa saya berkata sedemikian. Tak kenal maka tak cinta, jadi…
Apa Itu Format?
Ada yang memanggilnya clean install
Format adalah proses membuang perisian* Windows daripada komputer, dan kemudian memasangnya kembali pada komputer kita
*Ya. Windows juga sejenis perisian atau software
Pendek kata, format komputer boleh diibaratkan juga seperti anda uninstall atau buang program bermasalah dan install semula program itu. Maka, format hanya sesuai dilakukan apabila anda menghadapi masalah dengan perisian Windows, bukannya hardware (komponen komputer).
Rasionalnya saya berkata begitu, boleh dinilai daripada analogi saya di bawah
Analogi
Katakan printer yang anda baru beli itu, sudah kehabisan dakwat dan menghantar notis ke komputer memberitahu dakwat sudah habis.
Apa yang anda akan lakukan?
a) Mengganti dakwat
b) Uninstall dan Install semula software printer
Saya tahu rata-rata pasti memilih jawapan A. Sangat pelik untuk tiba-tiba uninstall dan install semula software printer jika dakwat printer yang kehabisan.
Namun, begitulah yang berlaku apabila anda memformat komputer, jika masalah sebenar berpunca daripada hardware-nya.
Kurang percaya dengan kata-kata saya?
Cuba gantikan printer dengan hardware, software printer adalah Windows dan notis itu adalah skrin biru
Format Komputer Atau Tidak?
Jangan pula, anda membuat kesimpulan yang format itu tidak boleh. Pengetahuan format itu penting untuk kita tahu. Adakalanya, format boleh menjadi quick fix atau penyelesaian sementara.
Apa yang penting, adalah ambil masa untuk memahami kenapa masalah itu terjadi, dan kemudian ambil tindakan yang sesuai untuk menghapuskan punca masalah
Yang tidak suka buang masa selesaikan masalah yang sama berulang kali,
-WK-
PS: Memandangkan perkataan format boleh membawa banyak maksud, format yang saya gunakan di atas adalah perkataan yang biasa digunakan apabila seseorang itu ingin fresh install atau clean install Windows (atau Operating System) dalam komputernya semula.
PSS: Buat pemilik emel (dan juga anda yang mungkin terasa), maafkan saya jika anda terasa. Tidak pernah langsung saya mengetawakan atau menyalahkan anda. Saya sekadar ingin membantu anda memahami kenapa kadang-kadang format bukanlah penyelesai masalah
12 Blog Komputer Anda Patut Tahu
by waidakmy on April 16, 2009
in Blog Komputer
Salam dan Apa khabar?
“Sharing is caring”. Jadi, dalam post kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda artikel-artikel menarik yang anda boleh jenguk pada blog-blog komputer yang saya senaraikan di bawah. Enjoy!!
Tiada keistimewaan dalam turutan di bawah. Ikut suka hati saya saja. Begitu juga dengan bilangan artikel yang dimuatkan bagi setiap blog
1. JomPHP.com
Cara Membuat Wifi HotSpot Di Rumah
Sesuailah bagi mereka yang teruja untuk pasang WiFi sendiri di rumah, setelah baca cerita saya tentang WiFi tempoh hari
10 Tips Untuk Pengguna Blogger Baru
Bagus untuk mereka yang baru saja daftar blog dengan Blogger. Bagi yang dah selalu guna blog di Blogger, cubalah tengok sama. Manalah tahu ada yang anda terlepas pandang
2. SembangKomputer.com
2 kata kunci yang saya rasa sentiasa menjadi carian di Google, iaitu format komputer dan tips lajukan komputer. Jawapannya ada dalam 2 artikel di bawah ini
3. Amanz.my
Blog ini berkisar isu-isu terkini dalam dunia komputer, IT dan games. Antara 2 berita yang agak baru jugalah
Pengasas Skype Mahu Beli Skype Semula
Internet Explorer 8 mula diedarkan
4. Melayubuntu
Blog ini banyak mengulas tips dan tutorial tentang Linux (secara spesifiknya Ubuntu mungkin..itu sebab nama dia Melayubuntu agaknya heh)
Emm..mungkin ada yang blur apa itu Ubuntu dan Sumber Terbuka, jadi boleh tengok artikel di bawah yang ditulis oleh pemiliknya
5. MyWindowsXP
Saya tertarik dengan salah satu artikel ini, sebabnya saya sering dapat buzz tentang mesej Acai pills akhir-akhir ini daripada kawan-kawan YM secara tiba-tiba. Sama yang saya jangkakan, mesej sebegini adalah worm dan dihantar tanpa orang itu sedar pun. Tetapi, saya silaplah, terlupa pula nak beritahu mereka. Malangnya, saya dah lupa siapa kawan-kawan saya yang beri mesej itu huhu
Yahoo Messenger worm? Pernah dapat mesej ini?
Tukar password YM anda jika mangsa worm
6. DilarangMelarang.com
Saya pun tak berapa pasti kenapa namanya DilarangMelarang.com heh. Sila ajukan pertanyaan anda kepada pemiliknya, En. Marzuki
Antara kekurangan Blogspot (atau blog percuma) adalah pada design layout blog, terutamanya bagi mereka yang tidak mahir bermain-main dengan kod HTML. Mungkin, ada yang tidak tahu layout blog Blogspot boleh ditukar jika tahu caranya. Maka, terpaksalah gunakan layout yang sedia ada. Jika ingin menukar layout blog, mungkin artikel di bawah boleh membantu anda
10 Layout Menarik Untuk Blogspot
7. KillVearn.com
Warna merah hitam dengan gambar headernya (ulat ke tu?) memang menarik hati saya. Tengok gambar ‘Who Am I’, saya teringat pula pada anime ‘MAR’, tetapi, watak dalam ‘Dragon Quest’ rupa-rupanya
Kalau saya pernah kongsikan cara sembunyikan folder rahsia, cara KillVearn sorokkan fail rahsia lebih cool, tetapi satulah kekurangannya. Sebabnya, saiz gambar itu akan jadi sangat tidak logik, jika anda sembunyikan fail yang besar
Sorokkan fail rahsia anda dalam gambar
8. KedaiGambarKu
Update 29 Jun 2010: Blog ini tidak lagi beroperasi. Harap maklum.
Blog KGK ini banyak berkongsi tentang tips dan tutorial photoshop. Serasa saya, pernah ada yang bertanya pada saya melalui emel jika ada blog tutorial Photoshop dalam bahasa melayu. Jadi, nikmati 2 tutorial Photoshop di bawah
Bagaimana masukkan gambar ke dalam Photoshop
9. AnjungPC.com
Saya bersetuju dengan pemilik blog ini. Walaupun memang seronok shopping di Internet, tetapi sentiasalah mengambil langkah berjaga-jaga. Oh ya..berjaga-jagalah juga dengan serangan Virus Conficker ini
Serangan Conficker Untuk Windows
10. CekapKomputer
Tips yang mudah dari pemiliknya, juruteknik komputer dari Sabah. Namun, sila berhati-hati apabila ‘bermain’ dengan elektrik. Jangan sampai terkena kejutan elektrik pula. Ada seorang ini pernah berpesan pada saya,
“In electricity, never assume”
Tips Periksa Power Supply Anda
11. Azumass.com
Didiklah diri anda dengan 5 sumber virus dan rakan-rakannya, supaya komputer anda tidak selalu diserang virus.
“Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati?”
5 Cara Virus, Spyware, Malware Serang Komputer
Jika kita berjaya mengurangkan risiko diserang virus, risiko untuk terkena Blue-Screen-On-Death pun akan berkurang kerana virus juga antara penyebab BSOD
Punca dan Bagaimana Blue-Screen-On Death Terjadi
“Mana pula blog yang ke-12?”
Blog komputer ke-12 yang anda sedang baca inilah
Tambahan 12:59pm 18 Apr 09 :
Boleh baca lagi satu blog ini tentang komputer
Sedikit teknikal mungkin kerana ini memang bidangnya dan dipelajari secara formal lagi, iaitu TMUkmkd. Blog ini bernama
Ada Masalah Baru Nak Cari
Antara artikel yang menarik ditulis K yang mengulas salah satu topik saya. Siap ada markah-markah lagi
(Maafkan saya jika ada blog yang tertinggal ya. Memang tidak mampu untuk saya review semua sekali)
-WK-
PS: Akhirnya, siap jua. Penat juga nak review 11 website sekaligus
PS: Tak perlulah saya screenshot semua website ya? Ada kelainan sikit berbanding tag blog-blog komputer lain bukan?
PS: Huhu..Maafkan saya. Komen saya di artikel lepas mengelirukan. Saya pun tak tahu pula task menulis dalam 31DBBB hanya seminggu sekali heh.. Maaf jika buat anda semua ternanti-nanti artikel terbaru saya..



