Selesaikah masalah dengan format komputer?

by waidakmy on June 25, 2009
in Troubleshooting PC

Salam dan Apa khabar? :)

Apabila membaca emel pembaca blog Wanita & Komputer sebegini, antaranya,

“Laptop saya ada masalah. Selalu keluar skrin biru kalau saya main game atau buka apa-apa program. Dah selalu sangat berlakunya, jadi saya ingat dah diserang virus. Maka, saya pun formatlah. Malangnya, dah lepas format pun masih jadi lagi…”

Nota: Emel telah disunting bagi memudahkan pembacaan memandangkan emel asal ditulis dalam bahasa sms.

Emel di atas memang menyedarkan saya, rupa-rupanya ada fahaman salah di antara kita.

“Format saja lah kan senang. Setel semua masalah”
“Ala…apa yang kau nak susahkan sangat. Format je”
“Slow sangat komputer tu. Baik kau format je”

Fahaman yang format komputer boleh menyelesaikan segala-galanya…

Tetapi,

Adakah benar dengan memformat komputer, ia boleh menyelesaikan semua masalah? SEMUA masalah, bukan sebahagian, bukan juga sekerat-kerat daripada masalah itu.

Selesaikan Masalah

Sumber: Flickr (MFunnel)

Secara jujurnya, saya kurang gemar dengan perkataan ‘format’ dan juga melakukannya. Format sentiasa menjadi cara terakhir saya dalam menyelesaikan masalah komputer.

Penting untuk anda tahu, yang kadang-kadang, format tidak menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya, masalah berulang selepas komputer diformat. Malah, adakalanya ia menimbulkan masalah yang lain pula, terutamanya, jika pemilik tidak menyimpan driver komponen komputernya.

Mungkin sukar untuk anda memahami kenapa saya berkata sedemikian. Tak kenal maka tak cinta, jadi…

Apa Itu Format?

Ada yang memanggilnya clean install

Format adalah proses membuang perisian* Windows daripada komputer, dan kemudian memasangnya kembali pada komputer kita

*Ya. Windows juga sejenis perisian atau software

Pendek kata, format komputer boleh diibaratkan juga seperti anda uninstall atau buang program bermasalah dan install semula program itu. Maka, format hanya sesuai dilakukan apabila anda menghadapi masalah dengan perisian Windows, bukannya hardware (komponen komputer).

Rasionalnya saya berkata begitu, boleh dinilai daripada analogi saya di bawah :)

Analogi

Katakan printer yang anda baru beli itu, sudah kehabisan dakwat dan menghantar notis ke komputer memberitahu dakwat sudah habis.

Apa yang anda akan lakukan?

a) Mengganti dakwat
b) Uninstall dan Install semula software printer

Saya tahu rata-rata pasti memilih jawapan A. Sangat pelik untuk tiba-tiba uninstall dan install semula software printer jika dakwat printer yang kehabisan.

Namun, begitulah yang berlaku apabila anda memformat komputer, jika masalah sebenar berpunca daripada hardware-nya.

Kurang percaya dengan kata-kata saya?

Cuba gantikan printer dengan hardware, software printer adalah Windows dan notis itu adalah skrin biru ;)

Format Komputer Atau Tidak?

Jangan pula, anda membuat kesimpulan yang format itu tidak boleh. Pengetahuan format itu penting untuk kita tahu. Adakalanya, format boleh menjadi quick fix atau penyelesaian sementara.

Apa yang penting, adalah ambil masa untuk memahami kenapa masalah itu terjadi, dan kemudian ambil tindakan yang sesuai untuk menghapuskan punca masalah :)

Yang tidak suka buang masa selesaikan masalah yang sama berulang kali,

-WK-

PS: Memandangkan perkataan format boleh membawa banyak maksud, format yang saya gunakan di atas adalah perkataan yang biasa digunakan apabila seseorang itu ingin fresh install atau clean install Windows (atau Operating System) dalam komputernya semula.

PSS: Buat pemilik emel (dan juga anda yang mungkin terasa), maafkan saya jika anda terasa. Tidak pernah langsung saya mengetawakan atau menyalahkan anda. Saya sekadar ingin membantu anda memahami kenapa kadang-kadang format bukanlah penyelesai masalah