4 Langkah Selesaikan Masalah Komputer
by waidakmy on July 2, 2009
in Troubleshooting PC
Salam dan Apa khabar?
“Habis tu kalau tak format nak buat macam mana? Takkan nak biarkan macam tu jer?” komen Asrol dalam post saya yang lepas.
Untuk Apa Format Itu?
Bukanlah tidak boleh. Boleh, cuma bagi saya, format selalunya perkara terakhir dalam proses menyelesaikan masalah komputer. Saya biasa bertanya pada diri,
“Kalau aku format komputer, rasa-rasanya selesai tak masalah ni?”
Kadang-kadang, bukan satu saja penyelesaian yang datang, malah timbul pula idea alternatif. Mungkin ada yang mempersoalkan,
“Kau tak apalah, waida. kau tahu banyak perkara tentang komputer”
Jangan anggap saya begitu. Saya juga manusia biasa. Ada perkara yang saya tahu. Ada perkara juga yang di luar pengetahuan saya. Malah, ada pembaca blog ini yang lebih hebat ilmu komputernya dari saya
Antaranya, K, Garfield, Shahrul, Dekan dan lain-lain lagi (sekadar menyebut beberapa nama). Ada antara mereka ini yang belajar secara formal lagi.
Jujurnya, saya hanya tahu dan minat tentang troubleshooting komputer, apabila saya memiliki komputer saya sendiri 9 tahun lepas. Saya memang berterima kasih pada masalah-masalah yang melanda komputer saya selama ini
Cumanya, saya yang bukan graduan IT ini, bolehlah cuba kongsikan apa proses menyelesaikan masalah (troubleshooting) yang saya lakukan. Mungkin ia dapat membantu anda, sebagaimana ia membantu saya.
Langkah-Langkah Troubleshooting Sendiri Komputer
1. Jangan Panik
Ya, jangan panik, walau komputer anda terbakar sekalipun
Bila tenang, barulah anda boleh berfikir dengan jelas
2. Berkenal-kenalan Dengan Masalah
Apa saja notifikasi (pop up) yang keluar di komputer anda, hatta skrin biru (Blue Screen On Death) pun, jangan tutup atau abaikannya. Sebaliknya, salin apa yang diberitahu di situ walaupun anda tidak faham langsung apa yang disalin. Jika panjang, hanya salin yang utama saja.
3. Fahami Masalah
Ini proses yang memakan masa serta memerlukan kerajinan dan ketabahan anda. Biasalah, bukankah memang memakan masa untuk mengenali dan memahami seseorang?
Kata kunci yang sudah disalin di langkah 2 tadi, taip kesemuanya di enjin carian, sama ada Google atau Yahoo. Kebiasaannya, masalah yang kita hadapi itu, juga dialami orang lain.
Anda perlu saring satu persatu keputusan enjin carian yang terpapar. Saya akui, bukan senang untuk menyaring penyelesaian yang ada. Saya sendiri pun kadang-kadang pening (rasa mahu muntah pun ada) melihat penyelesaian yang ada.
Tips Dari Saya
a – Gunakan (” “) ini sebelum dan selepas kata kunci yang anda masukkan dalam enjin carian
b – Cari masalah yang seakan-akan masalah anda. Jika tidak, abaikan saja
c – Selalunya penyelesaian lebih banyak dijumpai di forum-forum
4. Kategorikan Masalah
Berdasarkan penyelesaian yang anda jumpa, kategorikan masalah anda. Adakah ia masalah hardware (benda-benda fizikal, seperti kad grafik, printer, kad bunyi, RAM) atau software (benda-benda digital, contohnya perisian aplikasi seperti Microsoft Word, Adobe Reader, WinZip atau perisian Windows itu sendiri)
Jika ia satu masalah hardware, hantarlah ke kedai, jika anda tidak mempunyai keupayaan untuk membaikinya. Saya sendiri pun hantar ke kedai. Jika dibuktikan memang rosak, ia perlu diganti baru. Sambil-sambil hantar komponen itu ke kedai, tanyalah kenapa ia rosak. Untung-untung anda tahu kenapa ia boleh terjadi, dan boleh mengelakkannya kemudian hari.
Jika ia satu masalah software,
Jika perisian aplikasi? Saya lebih suka uninstall dan install saja semula perisian itu. Lebih mudah.
Jika perisian Windows? Bergantung kepada tahap kerosakan Windows anda. Selalunya, saya akan cuba baikinya (mengikut penyelesaian yang saya dah jumpa tadi) terlebih dulu, sebelum format. Itulah yang saya maksudkan sebagai format adalah langkah saya yang terakhir.
Ada Jalan Shortcut Tak?
Oh ya, jika rasa ia sesuatu yang susah dan menggunakan masa anda dengan banyak, jalan shortcut ada, iaitu hantar terus komputer ke kedai. Namun, haruslah bersedia untuk mengeluarkan wang. Sudah lumrah alam.
Mahu cepat dan mudah, mahal harganya
Mahu murah dan ringkas, lambatlah jawabnya
Mahu cepat, mudah dan murah, buatlah sendiri ya!
Ok, Apa yang anda buat bila hadapi masalah komputer?
Bacaan Tambahan: Bagaimana Format Komputer
-WK-
Selesaikah masalah dengan format komputer?
by waidakmy on June 25, 2009
in Troubleshooting PC
Salam dan Apa khabar?
Apabila membaca emel pembaca blog Wanita & Komputer sebegini, antaranya,
“Laptop saya ada masalah. Selalu keluar skrin biru kalau saya main game atau buka apa-apa program. Dah selalu sangat berlakunya, jadi saya ingat dah diserang virus. Maka, saya pun formatlah. Malangnya, dah lepas format pun masih jadi lagi…”
Nota: Emel telah disunting bagi memudahkan pembacaan memandangkan emel asal ditulis dalam bahasa sms.
Emel di atas memang menyedarkan saya, rupa-rupanya ada fahaman salah di antara kita.
“Format saja lah kan senang. Setel semua masalah”
“Ala…apa yang kau nak susahkan sangat. Format je”
“Slow sangat komputer tu. Baik kau format je”
Fahaman yang format komputer boleh menyelesaikan segala-galanya…
Tetapi,
Adakah benar dengan memformat komputer, ia boleh menyelesaikan semua masalah? SEMUA masalah, bukan sebahagian, bukan juga sekerat-kerat daripada masalah itu.

Sumber: Flickr (MFunnel)
Secara jujurnya, saya kurang gemar dengan perkataan ‘format’ dan juga melakukannya. Format sentiasa menjadi cara terakhir saya dalam menyelesaikan masalah komputer.
Penting untuk anda tahu, yang kadang-kadang, format tidak menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya, masalah berulang selepas komputer diformat. Malah, adakalanya ia menimbulkan masalah yang lain pula, terutamanya, jika pemilik tidak menyimpan driver komponen komputernya.
Mungkin sukar untuk anda memahami kenapa saya berkata sedemikian. Tak kenal maka tak cinta, jadi…
Apa Itu Format?
Ada yang memanggilnya clean install
Format adalah proses membuang perisian* Windows daripada komputer, dan kemudian memasangnya kembali pada komputer kita
*Ya. Windows juga sejenis perisian atau software
Pendek kata, format komputer boleh diibaratkan juga seperti anda uninstall atau buang program bermasalah dan install semula program itu. Maka, format hanya sesuai dilakukan apabila anda menghadapi masalah dengan perisian Windows, bukannya hardware (komponen komputer).
Rasionalnya saya berkata begitu, boleh dinilai daripada analogi saya di bawah
Analogi
Katakan printer yang anda baru beli itu, sudah kehabisan dakwat dan menghantar notis ke komputer memberitahu dakwat sudah habis.
Apa yang anda akan lakukan?
a) Mengganti dakwat
b) Uninstall dan Install semula software printer
Saya tahu rata-rata pasti memilih jawapan A. Sangat pelik untuk tiba-tiba uninstall dan install semula software printer jika dakwat printer yang kehabisan.
Namun, begitulah yang berlaku apabila anda memformat komputer, jika masalah sebenar berpunca daripada hardware-nya.
Kurang percaya dengan kata-kata saya?
Cuba gantikan printer dengan hardware, software printer adalah Windows dan notis itu adalah skrin biru
Format Komputer Atau Tidak?
Jangan pula, anda membuat kesimpulan yang format itu tidak boleh. Pengetahuan format itu penting untuk kita tahu. Adakalanya, format boleh menjadi quick fix atau penyelesaian sementara.
Apa yang penting, adalah ambil masa untuk memahami kenapa masalah itu terjadi, dan kemudian ambil tindakan yang sesuai untuk menghapuskan punca masalah
Yang tidak suka buang masa selesaikan masalah yang sama berulang kali,
-WK-
PS: Memandangkan perkataan format boleh membawa banyak maksud, format yang saya gunakan di atas adalah perkataan yang biasa digunakan apabila seseorang itu ingin fresh install atau clean install Windows (atau Operating System) dalam komputernya semula.
PSS: Buat pemilik emel (dan juga anda yang mungkin terasa), maafkan saya jika anda terasa. Tidak pernah langsung saya mengetawakan atau menyalahkan anda. Saya sekadar ingin membantu anda memahami kenapa kadang-kadang format bukanlah penyelesai masalah



